Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan bukan 18 sebaliknya 23 akaun TikTok organisasi media tempatan telah disekat baru-baru ini.

Beliau berkata, kementeriannya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang berhubung dengan TikTok bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu  tersebut.

“Setakat ini mereka (TikTok) memaklumkan kemungkinan besar ia berkait dengan video yang dimuat naik  berkaitan kejadian cabul kanak-kanak di sebuah masjid di Batang Kali baru-baru ini,” katanya pada sesi penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pihak media telah membuat penjelasan wajah kanak-kanak tersebut tidak disiarkan selaras dengan etika media.

“Bagi pihak media mereka merasakan tidak ada apa-apa kesalahan, mereka tak tunjuk wajah kanak-kanak perempuan tersebut tapi video secara automatik disekat melibatkan 23 akaun media kemungkinan juga ia disebabkan kecerdasan buatan (AI) yang digunakan.

“Jadi, ini bermaksud AI adakalanya ia membantu ada kalanya dia membantut. Jadi, bagi saya perlu ada intervensi dan di sini hasrat kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi untuk pastikan platform ini (TikTok) memahami kod etika yang dipegang oleh media di Malaysia dan kita minta mereka  lakukan penyesuaian nanti,” katanya.

Sementara itu, pada perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, lebih dari 90 peratus kandungan yang diturunkan daripada platform media sosial membabitkan penipuan dalam talian dan turut membabitkan akses yang terlalu mudah kepada perkara-perkara yang tidak sesuai dengan pembangunan sahsiah kanak-kanak.

Perkara itu sekaligus memberi kebimbangan kepada pembangunan mental kanak-kanak di bawah umur 13 tahun dan menyarankan agar golongan tersebut tidak cenderung kepada media sosial.

“Anak-anak di bawah 13 tahun tidak perlulah main media sosial, mainlah bola sepak, pergi bermain dengan kawan-kawan di luar kerana yang paling membimbangkan adalah kesan pembangunan mental kanak-kanal yamg mungkin terjejas akibat algortihm yang mencandukan media sosial ini kepada kanak-kanak,” katanya.

Dalam hal itu, Fahmi menjelaskan, pihaknya telah memulakan langkah intervensi dengan proses melesenkan beberapa syarikat pengendali platform media sosial supaya undang-undang yang ditetapkan sentiasa dipauthi dan tindakan turut boleh diambil kepada mereka yang melanggar peraturan.

“…Dan bila Akta Keselamatan Dalam Talian berkuatkuasa, ada beberapa perkara lain yang boleh diambil tindakan. Jadi, untuk fikirkan anak-anak ini yang belum sentuh masalah seperti darkside, terlalu mudah diakses untuk mereka peroleh kepada bahan yang sejujurnya tidak sesuai untuk pembangunan sahsiah di bawah umur  13 tahun, saya harap kita dapat bersama untuk katakan tidak kepada media sosial di bawah umur  13 tahun,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here