KUALA LUMPUR – Sebanyak 12,393 isu yang dikaitkan dengan penyelewengan pendanaan awam telah diaudit sejak 2012 sehingga Januari 2025.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, daripada jumlah itu sebanyak 11,594 isu berjaya diselesaikan manakala 799 sedang dalam tindakan susulan.
“Bagi tindakan sehingga 24 Februari 2025, (sebanyak) 32 isu disiasat oleh PDRM, 138 isu disiasat oleh SPRM dan 116 isu melibatkan jawatankuasa khas siasatan (JKS) dan jawatankuasa siasatan dalaman (JKSD) yang diselaraskan oleh JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam).
“Setakat 14 Januari 2025, JPA telah mengambil tindakan tatatertib terhadap 311 pegawai.
“Antara tindakan tatatertib yang diambil seperti amaran, denda, tangguh pergerakan gaji, turun pangkat dan buang kerja manakala terdapat dua orang penjawat awam yang telah dijatuh hukum oleh mahkamah,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan S. Kesavanan (PH-Sungai Siput) yang meminta penjelasan apakah tindakah susulan yang diambil oleh pihak tertentu dalam mengatasi masalah penyelewengan pendanaan awam selepas audit dilakukan.
Terdahulu, Kulasegaran menjawab pertanyaan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang ingin tahu bagaimana kerajaan boleh memastikan setiap peruntukan dana awam yang diumumkan dalam belanjawan tidak diselewengkan memandangkan Laporan Audit Negara masih menunjukkan kelemahan pengurusan kewangan di banyak agensi kerajaan.
Katanya, kerajaan berusaha dalam memastikan dana awam digunakan dengan berkesan dan tidak diselewengkan melalui tindakan susulan berkesan menggunakan Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara – Auditor General’s Dashboard (AGD) dan platform pemantauan dalam talian oleh Jabatan Audit Negara (JAN).
Katanya, AGD membolehkan pemantauan masa nyata, meningkatkan ketelusan serta memastikan tindakan susulan terhadap kelemahan kewangan yang dikenal pasti dalam LKAN.
Jelas beliau, sistem AGD merupakan inisiatif JAN dalam membantu mempercepatkan penyelesaian isu audit dan meningkatkan prestasi tadbir urus dalam sektor awam secara keseluruhan.
“Dengan pengawasan berterusan dan ketelusan yang dipertingkatkan, kerajaan dapat mengurangkan ketirisan serta meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan di sektor awam,” katanya. – MalaysiaGazette