Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Majlis Penyerahan MoU antara Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Universiti Awam dan Universiti Berkaitan Kerajaan di bawah Program Celik MADANI di Menara PNB 118, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 24 FEBRUARI 2025

KUALA LUMPUR – Rasionalisasi subsidi tidak memberi kesan kepada majoriti rakyat, dengan 85 peratus daripada mereka masih menerima subsidi seperti biasa.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah ini bukan bertujuan menarik balik bantuan tetapi memastikan subsidi disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Terutamanya mereka di dalam sektor elektrik. Bantuan masih dikekalkan tetapi penyasaran ini bertujuan untuk memastikan subsidi tidak salah digunakan,” katanya dalam Bicara Naratif Ekonomi Madani Meningkat Kesejahteraan Rakyat, malam ini.

Selain itu, subsidi diesel turut diselaraskan bagi memastikan bantuan diberikan kepada golongan seperti nelayan, sektor pengangkutan, dan individu yang menggunakan kenderaan bukan mewah.

“Bagi meringankan beban kewangan akibat kenaikan harga bahan bakar, bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan telah diberi kepada pengguna diesel yang layak termasuk mereka di dalam sektor pertanian dan perladangan.

“Penjimatan hasil daripada penyasaran subsidi ini akan digunakan untuk memperkukuhkan ekonomi negara,” tambahnya.

Menurut Amir Hamzah, banyak ketirisan subsidi telah berlaku sebelum ini akibat penyeludupan dan penggunaan oleh bukan warganegara.

“Walaupun ia bukan langkah yang popular, tindakan ini penting untuk memastikan ekonomi negara kekal mampan dalam jangka masa panjang.

“Dengan langkah ini, kita akan dapat memastikan hanya rakyat Malaysia yang benar-benar layak sahaja menerima subsidi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here