Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bergambar selepas merasmikan Kursus AI Huawei-Bernama di HUAWEI Customer Solution Innovation Center, The Intermark, Jln Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang berhubung dengan TikTok susulan sekatan kekal (permanent ban) dikenakan terhadap 18 akaun TikTok yang dimiliki pelbagai syarikat media, semalam.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, maklumat awal yang diterima pihaknya menyatakan sekatan itu disebabkan hantaran berhubung kes cabul melibatkan seorang kanak-kanak di Batang Kali, Selangor baru-baru ini

“Masalahnya di sini adalah AI (kecerdasan buatan) TikTok itu sendiri.

“AI kadang-kadang boleh tersasar jauh kerana ia tidak faham pelaporan yang dibuat organisasi media adalah berbeza dengan content orang biasa.

“Dengan itu, kita telah minta perbincangan diadakan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan kursus AI in Newsroom di sini hari ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berucap sebelum merasmikan Kursus AI Huawei-Bernama di HUAWEI Customer Solution Innovation Center, The Intermark, Jln Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 FEBRUARI 2025.

Tambah Fahmi, disebabkan sekatan tersebut berpunca daripada modulasi AI, beliau percaya ada ruang untuk pihaknya dan TikTok untuk mengadakan perbincangan.

“Saya nampak ada peluang untuk kita berbincang dan meminta pihak TikTok untuk memberi kelonggaran (contohnya) syarikat-syarikat media diberikan status yang berbeza (berbanding orang awam).

“Ini kerana syarikat media membuat pelaporan (berita) dan kita juga ada garis panduan serta kod etika (kewartwanan yang perlu dipatuhi).

“Di sini saya fikir, TikTok perlu faham,” ujarnya lagi.

Semalam, sebanyak 18 akaun TikTok milik organisasi media termasuk Bernama dan RTM dikenakan sekatan kekal.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here