KUANTAN – Bangkai seekor ikan paus kira-kira 11 meter panjang ditemukan sekumpulan nelayan terdampar berhampiran Pantai Sungai Miang, Pekan semalam.
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) berkata, susulan itu, kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Pahang bersama Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang (RA), Terengganu turun ke lokasi untuk meninjau keadaan bangkai berkenaan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati bahawa bangkai paus tersebut telah lama mereput, menyebabkan kesukaran dalam proses pengecaman spesies.
“Oleh itu, pasukan IPPRA akan mengambil sampel bagi menjalankan analisis eDNA untuk menentukan spesies dengan lebih tepat,” katanya menerusi kenyataan.
Bagaimanapun, DOF berkata, spesies yang dianggarkan adalah Bryde atau Fin berdasarkan kepada keadaan bangkai haiwan yang sebahagiannya terbenam di dalam pasir itu.
Semalam, tular di media sosial rakaman video berdurasi 16 saat memaparkan bangkai mamalia yang disangka kayu balak terdampar di pantai tersebut. – MalaysiaGazette