KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa saksi lain bagi membantu siasatan dalam kes empat bekas pegawai kanan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut kenyataan SPRM, pihaknya masih belum boleh mendedahkan hasil-hasil penemuan berhubung kes itu termasuk nilai wang atau aset-aset yang dijumpai.
“Akan ada beberapa saksi lain akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, badan siasatan tersebut berkata, siasatan masih di peringkat awal dan semua pihak diminta memberi ruang agar proses tersebut berjalan secara adil, telus, dan profesional.
“SPRM akan memaklumkan perkembangan terkini kepada masyarakat mengenai siasatan dijalankan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya,” ujarnya.
Siasatan terhadap keempat-empat suspek dilakukan di bawah Seksyen 16a Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Awal hari ini, SPRM menyita wang tunai lebih RM100 juta yang disyaki ada kaitan dengan dana politik, dalam serbuan terhadap sebuah rumah milik bekas pegawai kanan kepada bekas Perdana Menteri ke-9 itu.
Wang berkenaan ditemui dalam beberapa beg dan peti besi dalam bilik di kediaman itu.
Penyiasat SPRM turut merampas dokumen, barang kemas dan peranti elektronik ketika melakukan serbuan terhadap kediaman itu.
Serbuan terbabit dijalankan SPRM susulan siasatan berterusan dan pemantauan selama beberapa bulan terhadap dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan bekas pegawai kanan berkenaan.
Penyiasat kini sedang meneliti sumber wang berkenaan, termasuk kemungkinan kaitan dengan dana politik. – MalaysiaGazette