KANGAR – Bekas pengawal keselamatan yang dilaporkan hilang selepas dipercayai pergi ke Gua Beringin yang terletak di belakang rumahnya di Kampung Gua Beringin, Chuping semalam ditemukan meninggal dunia hari ini.
Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata Kamardin Pin, 61, ditemukan meninggal dunia di kawasan hutan kira-kira 50 meter dari belakang rumahnya pada 12.03 tengah hari tadi.
“Hasil pemeriksaan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis mendapati kematian itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, di sini untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari ini Bernama melaporkan polis menerima laporan kehilangan Kamardin daripada isterinya pada 1.56 tengah hari semalam apabila wanita itu mendapati suaminya tidak pulang ke rumah setelah keluar kira-kira 8 pagi semalam untuk ke gua berkenaan.
Mohd Shokri dipetik sebagai berkata Kamardin yang bekerja kampung setelah berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah memandu di Pauh, Arau menghidap penyakit jantung dan darah tinggi.
— BERNAMA