Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Perang mulut antara Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh dengan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nazri Aziz masih belum reda.

Terbaharu, Akmal berkata  rela menjadi ‘kebudak-budakan’ daripada hidup dengan menjilat demi kepentingan diri.

“Tidak mengapalah, kami lebih rela jadi kebudakan dari jadi orang tua yang hidup dengan menjilat demi kepentingan diri.

“Owh ya, Datuk Seri buat kenyataan beritahu bahawa Dato Seri menjilat untuk keuntungan saya dapat jadi Exco kerajaan negeri,” jawab Dr Akmal hari ini.

Terdahulu, Nazri membidas dengan berkata, Dr Akmal sebagai kebudak-budakan dan mempunyai mentaliti rendah.

Bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat itu berkata demikian bagi menjawab kritikan keras Dr Akmal yang menyifatkannya sebagai ‘penjilat’ selepas menyifatkan tiada siapa yang layak menjadi Perdana Menteri ke -10 jika bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Respons Akmal ini terhadap kenyataan saya menunjukkan tahap kebudak-budakan dan mentaliti yang rendah. Respons tersebut tidak menjawab kenyataan saya dengan baik.

“Saya telah diberitahu bahawa dia tidak mewakili orang Melayu atau UMNO sendiri. Dia sepatutnya mempertikaikan apa yang saya katakan dengan fakta yang betul, dan bukan dengan mengatakan saya ‘menjilat’. 

“Adakah itu reaksi yang patut datang dari Ketua Pemuda?” soal Nazri.

Memberikan respon kepada kenyataan itu, Dr Akmal menegaskan beliau dilantik sebagai Exco kerajaan Negeri Melaka kerana dipilih oleh rakyat negeri itu.

Jelasnya lagi, lantikan tersebut juga tidak ada kena mengena dengan Nazri.

“Jadi saya diangkat oleh rakyat bukan diangkat dengan cara menjilat pemimpin. Maka saya nak perbetulkan ayat Datuk Seri bahawa Datuk Seri menjilat sebenarnya untuk keuntungan peribadi bukan untuk orang lain

“Dan satu lagi, jawapan Datuk Seri ini,jika orang muda panggil jawapan koyak. Teruskan menjilat!” sindir Dr Akmal.

Semuanya bermula apabila Nazri berhasrat memberi tumpuan untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas kembali dari Amerika Syarikat serta memastikan  Presiden PKR itu kekal menerajui Putrajaya selepas PRU-16.

Ketika ditanya jika kebimbangannya mengenai ketiadaan calon pengganti Anwar turut merangkumi UMNO, Nazri membalas dengan sinis: “(Boleh) kamu beritahu saya siapa? Akmal? Kamu beritahu saya siapa.”

Nazri turut menyindir Dr Akmal dengan mengatakan dia hanya mewakili “satu perempat” daripada empat sayap UMNO, justeru pandangannya mengenai pelbagai isu tidak boleh dianggap sebagai suara majoriti.

Dalam kenyataan balas, Dr Akmal berkata, Pemuda UMNO bukan penjilat mencari makan.

Nazri bagaimanapun berkata jika benar dia ‘menjilat’, UMNO yang akan mendapat faedah termasuk Dr Akmal sendiri sebagai Exco kerajaan Melaka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast