MERSING – Seorang kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kereta ibunya selama 20 minit akibat terkunci dalam kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anjung Batu, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba Abdul Muiz Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada pukul 9.35 pagi.
“Susulan itu seramai sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kenderaan utiliti bagi menjalankan operasiĀ menyelamat kanak-kanak perempuan di dalam Proton Exora itu.
“Ibu kepada mangsa berusia 32 tahun yang menghubungi pihak bomba memaklumkan kejadian itu.
“Difahamkan semasa tiba di tempat kejadian, enjin serta penghawa dingin kereta masih hidup dan kanak-kanak tersebut berada dalam kenderaan yang terkunci.
“Ibu kepada kanak-kanak tersebut ingin menghantar bunga kepada cikgu sekolah berkenaan dan meninggalkan anaknya itu dalam car seat,” katanya ketika dihubungi.
Namun katanya, apabila selesai hantar bunga dan berpatah semula ke kereta didapati anaknya itu sudah terlepas dari car seat dan menekan butang kunci lalu ibunya terus hubungi pihak bomba.
Katanya, setiba di lokasi, pihak bomba cuba untuk mengarahkan kanak-kanak itu menekan semula butang ‘unlock’ tetapi malangnya anak tersebut tidak pandai.
Menurutnya, susulan itu pihak bomba menggunakan peralatan khas membuka pintu kereta berkenaan.
Tambahnya kanak-kanak itu terperangkap kira-kira 20 minit sebelum berjaya dikeluarkan dari kenderaan tersebut.
“Ekoran itu operasi ditamatkan pada pukul 9.50 pagi selepas mangsa diserahkan kepada keluarganya,” ujarnya.- MalaysiaGazette