JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan Geng Farid yang aktif mencuri motosikal jenis Yamaha 135 LC sejak Oktober dengan menahan empat lelaki termasuk dalang dalam Ops Lejang Khas pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, empat lelaki yang merupakan ahli Geng Farid itu berusia lingkungan 33 hingga 37 tahun.
“Geng curi motosikal itu diburu polis susulan laporan yang diterima daripada seorang lelaki warga tempatan berumur 19 tahun pada 21 Oktober lalu.
“Lelaki berkenaan mendakwa rumahnya di Jalan Mahmoodiah di sini dipecah masuk dan motosikal yang diparkir di pekarangan rumah telah dicuri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini hari ini.
Raub berkata, bertindak atas maklumat, antara pukul 9.30 hingga 11.30 pagi jumaat lalu, pihak polis melakukan dua serbuan di tiga lokasi berasingan di Kampung Melayu Majidee, Bandar Seri Alam dan Bandar Permas Jaya.
Dalam serbuan pertama polis menahan tiga lelaki berumur 33 hingga 37 tahun termasuk ketuanya dikenali sebagai Farid dan menyita tiga motosikal Yamaha 135 LC yang berada dalam keadaan tidak sempurna tanpa nombor pendaftaran.
Menurut Raub, dalam serbuan kedua, seorang lagi suspek berumur 36 tahun ditahan di Jalan Ubi Pulut di sini dan merampas sebuah lagi Yamaha 135 LC dengan nombor pendaftaran palsu serta kunci motosikal.
Jelasnya, penangkapan empat suspek terbabit telah berjaya menyelesaikan empat kes kecurian motosikal sekitar Johor Bahru dan Masai.
Tambahnya, Geng Farid itu aktif sejak lima bulan lalu dengan menyasarkan motosikal jenis Yamaha 135 LC.
Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket itu adalah menyimpan dan meleraikan motosikal curi untuk dijual secara berasingan atau digunakan sebagai alat ganti.
“Komponen ini tidak dijual secara terbuka sebaliknya mereka mempunyai pelanggan tetap yang memerlukan bahagian motosikal yang dileraikan itu,” katanya.
Raub berkata, tiga daripada empat suspek mempunyai 26 rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan curi kenderaan dan dadah.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine. Kesemua suspek direman sehingga Rabu depan dan kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” ujarnya.- MalaysiaGazette