ISKANDAR PUTERI – Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Liga Super selepas menewaskan Perak FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam ini.
Kemampuan pasukan Harimau Selatan yang menjadi juara Liga Super sebanyak 11 kali berturut-turut itu boleh dilihat sejak awal rentak permainan lagi.
JDT dilihat bermula garang sebaik wisel permulaan dengan asakan bertali arus ke gawang skuad The Bos Gaurus dalam usaha meledak jaringan pembukaan.
Harimau Selatan berpeluang membuka jaringan pada minit ke-7, namun tandukan Corbin-Ong Ong berjaya diselamatkan penjaga gol Perak FC, Haziq Nazli.
Minit ke-23, kapten Harimau Selatan, Jordi Amat hampir menjaringkan gol namun rembatannya sekali lagi diselamatkan Haziq sebelum tandukannya pada minit ke-27, hanya sedikit tinggi melepasi palang gol.
Minit ke-39, menyaksikan giliran penyerang import, Jorge Obregon untuk meledak jaringan namun rembatannya sekadar menggegarkan tiang gol.
Bagaimanapun, bekas pemain Real Madrid, Jese Rodriguez menggamatkan stadium apabila meledak jaringan pembukaan pada masa kecederaan babak pertama.
Babak kedua menyaksikan, JDT semakin hebat mengasak ke pintu gol Perak FC dalam usaha menambah jaringan.
Namun asakan-asakan jentera serangan Harimau Selatan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan.
Akhirnya pintu gol Perak FC bolos buat kali kedua, hasil sepakan penalti yang disempurnakan Jorge Obregon pada minit ke-64.
Penghujung perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan dan menyaksikan kedudukan 2-0 memihak JDT kekal hingga ke wisel penamat.- MalaysiaGazette