PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low bukan proksi Datuk Seri Najib Razak apatah lagi ada peranan atau kuasa dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, 75, juga tidak dimaklumkan peranan Jho Low dalam 1MDB yang dahulu dikenali sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) atau hubungannya dengan Najib yang ketika itu Perdana Menteri.

Ujar saksi pembelaan ke-12 (DW12) itu, sewaktu pelantikan beliau sebagai Pengarah TIA pada 11 Ogos 2009, beliau tidak mengenali Jho Low dan hanya bertemunya kali pertama ada Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 26 September 2009.
Menurut Che Lodin, selaku Pengarah TIA, beliau juga tidak mengetahui atau diberitahu mengenai pengaruh ahli perniagaan dalam buruan tersebut dalam syarikat pelaburan strategik negara.
Ujarnya, Lembaga Pengarah membuat keputusan berdasarkan representasi yang dibuat oleh pihak pengurusan dan pelbagai perunding seperti Goldman Sachs, Wong & Partners dan Lazard.
Che Lodin menyatakan demikian pada perbicaraan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan bekas Perdana Menteri.
Beliau menyatakan demikian ketika membaca pernyataan saksi pada prosiding pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin mewakili Najib.
Dalam pernyataan itu, Che Lodin turut berkata, sepanjang pengetahuannya, Jho Low tidak pernah menjadi sebahagian daripada pengurusan 1MDB.
“Jho Low tidak pernah dilantik sebagai perunding kepada 1MDB mahupun menjadi sebahagian daripada pengurusan syarikat itu,” katanya.
Ujar saksi, satu sesi penerangan diadakan pada 18 September 2009 oleh Lembaga Pengarah 1MDB berkaitan `Projek Aria’ melibatkan kerjasama dengan PetroSaudi International Limited (PSI).
Che Lodin berkata, ahli lembaga pengarah tidak dimaklumkan oleh Jho Low ketika mesyuarat itu berhubung maklum balas dan terma-terma khusus yang perlu dimasukkan dalam perjanjian usahasama tersebut.
Menurut Che Lodin, sepanjang tempoh berjawatan sebagai Pengarah 1MDB dari 2009 hingga 2016, tiada pihak lain yang bertindak mengarahkan atau mempengaruhi Lembaga Pengarah membuat keputusan.
Saksi selanjutnya berkata, sebelum atau selepas pelantikan dalam Lembaga Pengarah TIA, beliau tidak pernah diatur atau difahamkan untuk bertindak sebagai proksi Najib.
Menurutnya, sebagai pengarah TIA dan kemudiannya 1MDB, beliau bergantung kepada pengurusan dan perundingan untuk membimbing Lembaga Pengarah membuat keputusan dan ia dilakukan secara persetujuan bersama, bukan melalui undi majoriti.
Mengikut pertuduhan, Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman bersambung esok. – MalaysiaGazette