Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menaiki BAS.MY Ipoh selepas melancarkannya di Dewan Bandaran Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 FEBRUARI 2025.

IPOH – Kementerian Pengangkutan menafikan kematian seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) buta yang terjatuh di stesen transit aliran ringan (LRT) Titiwangsa, di Kuala Lumpur Sabtu lalu berpunca daripada kegagalan sistem.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun beliau yakin Sistem Keselamatan Hentian Kecemasan Pencerobohan Penumpang (PIES) berfungsi dengan baik ketika kejadian, namun pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca insiden itu.

“Secara kebetulan mangsa di situ dan dalam masa sama, tren sampai. Jadi ia bukan berpunca daripada kegagalan sistem PIES.

“Kadangkala memang ada yang kata sitsem (tren LRT) kita tergendala atau berhenti dan sebagainya. Sebenarnya sekiranya ada sebarang objek jatuh di landasan LRT, secara automatik sistem akan berhenti.

“Akan tetapi (dalam situasi baru-baru ini) secara kebetulan, berlaku insiden menyedihkan apabila mangsa terjatuh dan sistem pada tren tidak sempat dihentikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) Ipoh BAS.MY di Dewan Bandaran Ipoh, dekat sini, pada Isnin.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu turut dihadiri Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Datuk Azlan Shah Al Bakri, dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Pada Sabtu media melaporkan, seorang lelaki OKU buta maut selepas selepas terjatuh di atas landasan dan digilis tren di Stesen LRT Titiwangsa, di Ibu Negara.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Fadil Hesam Mohd berkata, Pasukan Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan berkenaan insiden itu pada jam 8.38 pagi.

Lelaki OKU warga tempatan itu ditemukan ditemui berada di bawah landasan rel tren dan disahkan meninggal dunia.

Mangsa yang difahamkan tiada identiti itu dipercayai terjatuh di kawasan rel sebelum dilanggar oleh sebuah tren yang melintasi kawasan tersebut.

Pada masa sama, Anthony berkata, pihaknya akan mengambil pelbagai langkah perlu dalam menambah baik infrastruktur di semua stesen LRT agar insiden seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.

Kata beliau, ia termasuk kepada penambahan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih canggih serta penyediaan pintu skrin platform (PSD).

Tambah beliau lagi, walau bagaimanapun usaha itu memerlukan penelitian lanjut bagi ia dilaksanakan secara berperingkat.

“LRT Titiwangsa ini antara stesen yang tidak dilengkapi dengan PSD, sama seperti stesen LRT lain yang berusia.

“Dan sudah pasti kita akan menambah baik infrastruktur di LRT berkenaan, kerana insiden melibatkan lelaki OKU itu suatu yang menyedihkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here