Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad - Gambar fail

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuduh anak-anaknya memiliki kekayaan bernilai RM1.2 bilion.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, angka tersebut tidak tepat dan ia merupakan gabungan aset dua anaknya, Mirzan dan Tan Sri Mokhzani.

Menurut Dr. Mahathir, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan bahawa jumlah aset yang dimiliki Mirzan adalah RM246.2 juta, termasuk aset peribadi bernilai RM120 juta.

Tambahnya, Mokhzani pula memiliki aset keseluruhan kira-kira RM1 bilion, dengan aset peribadi sebanyak RM360 juta.

“Jika dijumlah kedua-dua aset mereka ialah RM 436 million.

“Dari mana datang angka RM1.2 billion yang disebut berkali-kali oleh DS (Datuk Seri) Anwar.

“Kononnya mereka termasuk dalam kalangan maha kaya yang disindir mendapat kekayaan kerana sakau duit Kerajaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau turut menafikan bahawa anak-anaknya termasuk dalam golongan ‘maha kaya’ yang memperoleh kekayaan melalui penyelewengan dana kerajaan.

Dr. Mahathir menegaskan, kenyataan SPRM tidak menyebut sebarang bukti mengenai penglibatan mereka dalam penyelewengan tersebut.

“Apa bukti yang mereka telah sakau duit Kerajaan? Kenyataan SPRM tidak menyebut perkara ini,” ujarnya.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, beliau telah memfailkan saman fitnah terhadap Anwar dua tahun lalu, namun sehingga kini Anwar belum mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaannya.

Tegasnya, Anwar terus mengulangi sindiran bahawa beliau adalah antara pemimpin yang menyeleweng berbillion ringgit dana kerajaan dan menggesa beliau menggunakan kekayaannya untuk membantu golongan Melayu miskin.

“Saya telah saman fitnah terhadap Anwar. Sudah sampai dua tahun Anwar masih tidak tunjuk bukti,” tambah Mahathir.

Sebelum ini, Dr. Mahathir mencabar Anwar untuk memberikan maklumat mengenai lokasi dana berbillion ringgit yang didakwa diselewengnya dan berjanji akan menyerahkan sepenuhnya wang tersebut kepada golongan miskin jika dakwaan itu benar.

“Mungkin Anwar tahu di mana duit berbillion ini ada. Saya tidak tahu. Anwar boleh bagi maklumat di mana berada duit yang saya sakau ini dan saya akan beri semua 100 peratus kepada orang miskin.

“Ini ikrar saya dan saya sanggup jamin yang saya akan tunai janji saya. Jika tidak, Anwar bila buka mulut, bohong,” ujar Dr. Mahathir.

Mahathir berkata demikian susulan laporan media pada 21 Januari lalu yang menyatakan bahawa SPRM telah menerima pengisytiharan harta daripada Mirzan dan Mokhzani, dengan jumlah aset melebihi RM1.2 bilion.

Pertikaian antara Dr. Mahathir dan Anwar berlanjutan sejak beberapa tahun lalu, termasuk tindakan bekas Perdana Menteri itu memfailkan saman fitnah berjumlah RM150 juta terhadap Anwar pada Mei 2023 berhubung dakwaan beliau mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here