Abu Tariq (kiri) melepaskan pegawai HASiL untuk Op Dagang 2025 di Menara HASiL, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) merekodkan lebih 80 peratus pembayar cukai membabitkan individu dan syarikat mematuhi pembayaran jumlah taksiran yang dikenakan.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, jumlah tersebut membabitkan lebih 8 juta pembayar cukai aktif seluruh negara setakat ini.

“Peratusan pembayar cukai itu adalah tinggi, namun kesedaran perlu diterapkan lagi dikalangan pembayar cukai agar mereka yang culas menunaikan tanggungjawab.

“Pada tahun 2023, HASil berjaya menghasilkan kutipan cukai keseluruhan berjumlah RM183.4 billion. Kutipan ini adalah lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

“Walau bagaimanapun angka rasmi kutipan jumlah kutipan cukai tahun lepas, dijangka akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

“Dalam lingkungan peratusan pembayar cukai agak tinggi juga dalam 80 peratus ke atas yang mematuhi kutipan dan proses kutipan.

“Daripada segi pematuhan tentunya ini proses berterusan kita rasa ada ruang lagi untuk pemantauan ini dapat ditingkatkan.

“Itulah sebabnya kita jalankan operasi kerana tentunya masih ada lagi yang jelas di luar sana yang tidak atau gagal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Op Dagang 2025 Peringkat Nasional di Wisma LHDN di sini hari ini.

Katanya, proses berkenaan akan dijalankan secara berterusan dan secara serentak di seluruh negara melibatkan seramai 1,816 pegawai HASiL dan semakan ke atas 2,495 syarikat.

Tumpuan operasi kali ini katanya, terhadap lima sektor industri terpilih iaitu pembinaan, pembuatan, hartanah, pengangkutan dan penyimpanan, serta pertanian.

Jelasnya, ini membabitkan empat empat aktiviti operasi percukaian utama iaitu aktiviti audit, aktiviti pungutan, aktiviti pematuhan strategik (siasatan) dan aktiviti operasi verifikasi pembayar cukai.

“Op Dagang 2025 bertujuan untuk meningkatkan tahap pematuhan cukai dari segi pendaftaran fail cukai pendapatan, penghantaran borang cukai, pelaporan cukai serta pembayaran cukai.

“Pada tahun lalu,  Op Dagang yang dijalankan menghasilkan 28,348 kes bagi industri Pembinaan dengan jumlah taksiran dibangkitkan sebanyak RM687 juta; 16,061 kes bagi industri Pembuatan (jumlah taksiran dibangkitkan sebanyak RM1.86 bilion) dan 6,817 kes bagi industri Hartanah dengan jumlah taksiran dibangkitkan sebanyak RM247 juta.

“Op sama turut menghasilkan 9,626 kes bagi industri Pengangkutan dan Penyimpanan (jumlah taksiran dibangkitkan sebanyak RM260 juta) dan sebanyak 9,331 kes bagi industri Pertanian (jumlah taksiran dibangkitkan sebanyak RM122 juta),” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here