KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang membuat penilaian terhadap platform media sosial X susulan ia dikatakan tidak mempunyai jumlah pengguna lebih daripada paras yang ditetapkan.
Oleh kerana itu, pelesenan media sosial tersebut masih lagi dikaji, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Bagaimanapun beliau berkata, sama ada platform berkenaan mempunyai lesen ataupun tidak, kesemua pengendali itu perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
“Bagi platform media sosial X yang sebelum ini menyatakan mereka tidak ada pengguna lebih dari paras ditetapkan iaitu lapan juta pengguna di Malaysia, maka SKMM sedang melakukan pengesahaan melalui pelaksanaan survey, di situ kita akan teliti dan mengambil tindakan setelah selesai survey tersebut.
“Sama ada platform tersebut ada lesen atau tidak, mereka masih perlu patuh dengan undang-undang dalam negara. SKMM sentiasa berhubung dengan mereka untuk mengambil sebarang tindakan,” katanya pada sesi penggulungan kementerian berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Fahmi berkata, hasil kerjasama itu turut menunjukkan kesan positif apabila pengendali platform Youtube telah menurunkan 97 peratus iklan judi dalam talian yang mampu menjejaskan pengguna. – MalaysiaGazette