Tertuduh seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret Kajang atas pertuduhan membunuh suaminya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 FEBRUARI 2025

KAJANG – Mahkamah Majistret hari ini menetapkan 17 April depan bagi sebutan kes seorang wanita yang ditahan menikam suaminya sehingga maut.

Majistret Fatin Dayana Jalil menetapkan tarikh berkenaan setelah pertuduhan dibacakan dihadapan tertuduh, Hew Pit Lee.

Mahkamah bagaimanapun tidak dapat merekodkan apa-apa kenyataan daripada Pit Lee setelah pertuduhan dibacakan.

Pertuduhan terhadap tertuduh dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin.

Apabila jurubahasa membacakan kertas pertuduhan, tertuduh didapati tidak memberikan apa-apa respon dan hanya menggeleng kepala tanda tidak faham.

Mengikut kertas pertuduhan, Pit Lee didakwa membunuh Wong Chee Min, 61, di sebuah rumah Jalan 1/18, Bandar Teknologi Kajang, Semenyih antara 10.30 pagi hingga 11 pagi pada 16 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, mahkamah terpaksa menangguhkan seketika prosiding pertuduhan apabila Pit Lee enggan menjawab sebarang pertanyaan dikemukakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin.

Malah Pit Lee juga dilihat terpaksa dipujuk oleh anggota polis mahkamah sebelum prosiding pertuduhan disambung semula.

Pit Lee sebelum ini ditangkap kerana disyaki menikam suaminya sehingga maut di hadapan rumah mereka di sebuah pangsapuri di Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pertuduhan terhadap suspek akan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan seorang kontraktor berusia 60 tahun maut ditikam berulang kali oleh isterinya di hadapan sebuah pangsapuri, di sini selepas dikatakan berlaku perselisihan faham.

Kejadian kira-kira pukul 11.05 pagi, 16 Februati lalu itu turut disaksikan orang awam yang kemudian melaporkannya kepada pihak polis.

Suspek yang juga suri rumah ditahan di lokasi kejadian manakala senjata digunakan dirampas untuk siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here