Antara warga asing yang ditahan dalam satu serbuan di kilang sampah elektronik (e-waste) pada operasi Op X di sekitar Buloh Kasap, Segamat, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 24 FEBRUARI 2025.

SEGAMAT – Seramai 420 pekerja warga asing ditahan dalam satu operasi bersepadu di 12 kilang sampah elektronik (e-waste) di Buloh Kasap, di sini, dan Telok Panglima Garang, Selangor hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jafri Embok Taha berkata, turut ditahan dalam serbuan Op X bermula jam 9 pagi itu adalah lima rakyat tempatan iaitu tiga lelaki dan dua wanita yang merupakan majikan kilang berkenaan berusia 30 hingga 40-an.

Menurutnya, tangkapan terbesar dibuat di dua buah kilang seluas 16 padang bola di Buloh Kasap melibatkan seramai 214 pekerja warga asing daripada 466 yang diperiksa.

“Kesemua pekerja yang ditahan di 12 kilang berkenaan adalah warga Bangladesh, Myanmar dan Nepal berumur antara 20-an hingga 50-an.

“Antara cabaran yang dihadapi ada antara pekerja asing tanpa izin (PATI) yang cuba melarikan diri dengan bersembunyi di sebalik timbunan guni e-waste namun usaha itu gagal dan mereka berjaya diberkas ,” katanya.

Antara warga asing yang ditahan dalam satu serbuan di kilang sampah elektronik (e-waste) pada operasi Op X di sekitar Buloh Kasap, Segamat, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 24 FEBRUARI 2025.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengetuai Op X yang turut disertai pegawai dan penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Alam Sekitar dengan kekuatan lebih 400 anggota di Buloh Kasap di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jafri berkata, ada diantara PATI yang ditahan mendakwa dibayar gaji sehingga RM2,100 sebulan namun ketika ini masih ada antara mereka tidak diberikan kerja sejak dua minggu lalu.

“Alasan diberikan majikan adalah ketiadaan bahan mentah menyebabkan mereka tiada kerja dan tidak dibayar gaji.

“Kesemua pekerja asing di siasat di atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama sebelum dibawa ke Depoh Tahanan Pekan Nenas, Johor dan Machap Umboo, Melaka untuk tindakan lanjut,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here