Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Said Sabri menyampaikan ceramah agamanya ketika menghadiri majlis ilmu selepas selesai Solat Maghrib di Masjid Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 24 FEBRUARI 2025.

PUTRAJAYA – Kerajaan Palestin mengalu-alukan sumbangan wakaf untuk pembangunan semula Gaza, bukan sahaja dari Malaysia, bahkan jemputan itu terbuka kepada semua negara Islam.

Imam Masjid al-Aqsa Palestin, Sheikh Dr. Ekrima Said Sabri berkata, Palestin memerlukan sokongan semua pihak untuk membangun projek-projek infrastruktur dan memperkukuhkan semula kota umat Islam itu.

“Jemputan ini terbuka kepada semua negara Arab dan kerajaan untuk meninggalkan jejak atau kesan mereka di bumi Al-Quds.

“Ini kerana Al-Quds bukan untuk penghuni Al-Quds, tetapi untuk seluruh umat Islam, status al-Quds sama seperti Makkah, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

“Kota Al-Quds memerlukan sokongan Arab dan kaum muslimin untuk membantu projek-projeknya untuk mengukuhkan kota Islam ini.

“Mereka yang mendiami di bumi Al-Quds memerlukan sokongan, mereka ini telah menjaga dan memelihara bandar suci ini yang telah disucikan oleh Allah SWT dari langit tinggi,” katanya pada Majlis Ilmu Madani di Masjid Putra, malam ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama-sama Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Said Sabri (kanan) dan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (kiri) ketika menghadiri majlis ilmu selepas selesai Solat Maghrib di Masjid Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 24 FEBRUARI 2025.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar.

Selain itu, Ekrima melahirkan rasa terharu dengan langkah Perdana Menteri yang menyumbang dan menubuhkan inisiatif wakaf untuk Universiti Al-Quds dan sekolah-sekolah di Al-Aqsa.

“Supaya Malaysia mempunyai sumbangan yang berterusan pahalanya sebagai sedekah jariah di bumi Al-Quds.

“Semoga Allah membalas jasa Perdana Menteri atas langkah yang positif dan membina ini.

“Semoga Allah memberikan kebaikan kepada bumi Malaysia, meneruskan kesinambungan, kebaikan, keamanan dan kedamaian ke atas bumi Malaysia ini,” katanya.

Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Said Sabri (tengah) bersalaman bersalam-sama orang ramai selepas selesai mengimamkan Solat Isyak ketika hadir pada Majlis Ilmu di Masjid Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 24 FEBRUARI 2025.

Menurut Ekrima, wakaf adalah satu projek berbentuk ibadah yang boleh mendekatkan diri umat Islam kepada Allah dengan kebaikan.

“Tambahan pula wakaf menyumbang kepada amalan dan projek kemasyarakatan seperti membantu anak-anak yatim, membantu pendidikan, hospital-hospital, membina masjid dan menjaga perkuburan.

“Inilah projek Islam yang di dalamnya menyokong pelbagai aktiviti dan amalan yang telah dipuji dan ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah SAW, apabila mewakafkan kebun,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here