Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan bin Haji Hassan bersama para pemenang PJ Joran 2025 selepas penyampaian hadiah semalam.

KUALA LUMPUR –  Rezeki menyebelahi Mohd Farid Napie dari Shah Alam apabila beliau dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan memancing PJ Joran 2025 setelah berjaya menaikkan ikan patin seberat 13.305 kilogram (kg) di Tasik Bandaran Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor Darul Esan.

Kejayaan itu melayakkan lelaki berusia 39 tahun membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 beserta piala.

Pertandingan memancing anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ini kembali untuk edisi keenam dengan penyertaan hampir 600 pemancing dari pelbagai negeri bersempena Tahun Melawat Selangor 2025.

Menurut Mohd Farid, kemenangan itu adalah hasil pengalamannya yang telah berkecimpung dalam dunia pertandingan memancing selama 12 tahun.

“Saya tidak menyangka kemenangan ini kerana hanya menggunakan roti kosong sebagai umpan. Ikan patin ini berjaya dinaikkan dalam tempoh 12 minit. Wang kemenangan ini akan digunakan sebagai persediaan menyambut bulan Ramadan yang bakal tiba,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, tempat kedua disandang M. Dani Hakim Mohd Naim, 14, yang membawa pulang RM3,000 selepas berjaya menaikkan kap rumput seberat 6.895 kg.

Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Siew Yew Choe, 54, yang menerima RM1,000 dengan hasil tangkapan kap rumput seberat 6.205 kg.

Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan.

“PJ Joran 2025 bukan sekadar satu pertandingan memancing, tetapi juga platform riadah inklusif yang menggalakkan interaksi sosial serta memperkukuh hubungan dalam komuniti,” katanya.

Beliau turut menambah pertandingan ini bertujuan memperkenalkan taman tasik rekreasi sebagai lokasi riadah bagi warga Petaling Jaya serta menggalakkan aktiviti memancing secara sihat.

Acara itu juga berjaya menarik peserta dan keluarga dari negeri Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.

Sebanyak lebih 230 ekor ikan daripada pelbagai spesies berjaya ditangkap sepanjang pertandingan ini termasuk ikan patin, keli, haruan, puyu, peacock bass dan tilapia.

Selain mencipta pengalaman menarik bagi para peserta, PJ Joran 2025 turut memainkan peranan dalam menyemarakkan kempen Tahun Melawat Selangor 2025.

Kempen bertujuan meningkatkan profil serta perkembangan industri pelancongan di Negeri Selangor, khususnya di daerah Petaling Jaya.

Dengan sambutan menggalakkan dan penyertaan dari pelbagai negeri, PJ Joran 2025 terus membuktikan potensinya sebagai acara tahunan yang bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, tetapi juga merancakkan ekonomi pelancongan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here