BUTTERWORTH – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan keputusan kerajaan untuk memajak 28 helikopter bernilai RM16 bilion selama 15 tahun adalah berdasarkan fakta yang jelas dan terperinci.
Mengulas dakwaan pembangkang bahawa penjelasan beliau mengelirukan, Mohamed Khaled menegaskan, tiada sebarang kekeliruan dalam kenyataannya.
“Mereka (pembangkang) perlu memperincikan kekeliruan yang dimaksudkan dan bukan menyatakan secara umum. Saya hanya memberikan fakta yang meyakinkan,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Udara Butterworth hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pajakan syarikat Syarikat Weststar Aviation Services Sdn. Bhd dibuat susulan mempunyai keupayaan kewangan dan kepakaran dalam pengendalian perkhidmatan helikopter bukan sahaja dalam negara tetapi juga di luar negara termasuk Arab Saudi dan Timor Leste.
“Dalam model pajakan ini, syarikat Weststar yang perlu menyediakan pembiayaan untuk helikopter tersebut bukannya kerajaan.
“Kerajaan hanya membayar secara ansuran setiap bulan selama 15 tahun setelah helikopter siap. Ini adalah model yang membolehkan kerajaan memperoleh aset penting tanpa membebankan kewangan negara secara langsung.
“Malah perjanjian pajakan ini juga termasuk penyelenggaraan helikopter dalam dan luar pengkalan, latihan juruterbang, simpanan alat gantian serta insurans untuk melindungi helikopter dan pihak ketiga, yang mana tidak terdapat pada aset kerajaan yang sedia ada,” katanya.
MalaysiaGazette semalam melaporkan Perikatan Nasional (PN) mendakwa margin keuntungan yang diambil oleh syarikat swasta yang hanya menjalankan peranan sebagai orang tengah dalam pajakan 28 buah helikopter adalah terlalu besar iaitu berjumlah sekali ganda.
Ketua Biro Portfolio Pertahanan PN, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, perkara itu berdasarkan perbandingan harga melalui dua kes sewaan sedia ada aset dari helikopter varian yang hampir sama dengan pesawat helikopter jenis AW149 yang dipajak.
“Perbandingan itu melibatkan kontrak sewaan empat helikopter AW139 pada 2022 melibatkan kos keseluruhan RM265 juta dan kontrak selenggaraan helikopter AW189 dengan kos keseluruhan RM33 juta pada 2024.
“Kerajaan kelihatan tidak mahu berterus-terang berkenaan apakah butiran sebenar kos keseluruhan RM16.6 bilion berdasarkan persetujuan kontrak antara Kerajaan Malaysia dan Syarikat Weststar Aviation Services Sdn. Bhd.,” kata Ikmal Hisham. – MalaysiaGazette