Amirudin Shari

SHAH ALAM – Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan akan bertanding bagi peringkat pimpinan pusat pada pemilihan parti pada 24 Mei ini.

Menteri Besar Selangor itu bagaimanapun berkata beliau belum memutuskan jawatan yang bakal ditandinginya, mengambil kira keperluan mewujudkan kestabilan dan kepentingan PKR sebagai antara parti tunjang dalam pembentukan kerajaan Perpaduan.

Amirudin mengakui telah bertemu beberapa pihak, dengan ada antara mereka menyarankan beliau untuk mengekalkan jawatan sedia, selain terdapat saranan melibatkan jawatan lain.

“Saya perlukan sedikit masa. Bagi saya, yang penting bukan kedudukan dalam PKR tetapi bagaimana untuk memperkukuh parti. Adakah tujuan dan niat saya bertanding akan memperkemas atau menimbulkan perpecahan dalam parti?

“Pada waktu ini PKR adalah parti kerajaan dan antara tunjang penting dalam Kabinet termasuk jawatan Perdana Menteri. Apa-apa berlaku di peringkat parti akan memberi kesan kepada kerajaan. Itu harus difikirkan dengan teliti,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan bas elektrik bagi program SMART Selangor, di sini hari ini.

Mengulas mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang dijangka tidak dipertandingkan pada pemilihan kali ini, Amirudin berpandangan terdapat ruang untuk perbincangan berhubung perkara itu.

Beliau berkata hak demokrasi tetap diberikan dalam pemilihan tersebut dan parti juga terbuka kepada mana-mana ahli untuk berbanding.

“Tetapi kalau pertandingan itu akhirnya menimbulkan perbalahan dan menggoyang parti dalam jangka panjang terhadap keutuhan kerajaan, saya rasa ia wajar dimusyawarahkan (dirundingkan),” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berlangsung pada 24 Mei ini.

Pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan Cabang pula ditetapkan pada 11 hingga 20 April. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here