KUALA LUMPUR – Inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) membahagikan sekolah kepada tiga kategori bukan sekadar langkah penjenamaan semula sebaliknya disifatkan satu pendekatan lebih luas, sistematik dan inklusif.
Pakar pendidikan, Dr. Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim berkata, inisiatif itu juga merupakan anjakan baharu dalam reformasi pendidikan ke arah memastikan semua sekolah mempunyai hala tuju yang jelas dan bergerak maju berdasarkan keperluan masing-masing.
Beliau yang juga Felo Penyelidik Pendidik Madani berkata, pengkategorian sekolah bukan satu bentuk ranking kepada pelajar seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang telah dimansuhkan.
Jika UPSR dan PT3 menilai murid secara individu, pengkategorian sekolah sebaliknya menilai ekosistem pembelajaran secara menyeluruh, mengenal pasti keperluan unik setiap sekolah untuk diberikan sokongan sewajarnya.
“Malah pengelasan ini bukan dibuat secara terbuka. Maknanya, ibu bapa dan orang awam tidak tahu pun sekolah mana dalam kelas yang mana.
“Ia adalah data dalaman untuk kegunaan KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi menyusun gerak kerja sokongan dan strategi bantuan kepada sekolah yang memerlukan.
“Tujuan utama ialah memastikan sekolah yang memerlukan bantuan tambahan menerimanya dan sekolah yang telah berjaya boleh membimbing sekolah lain,” katanya.
Beliau mengulas mengenai langkah Kementerian Pendidikan (KPM) yang akan akan membahagikan sekolah kepada tiga kategori iaitu Sekolah Fokus, Sekolah Aspirasi dan Sekolah Inspirasi dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan negara.
Sementara itu, Radin Muhd Imaduddin berkata, inisiatif pengkategorian sekolah tersebut dapat membantu sekolah untuk terus berkembang selain selari dengan keperluan untuk sistem pendidikan bergerak ke hadapan dengan pendekatan yang lebih sesuai mengikut zaman.
Beliau mengambil contoh pengkelasan Sekolah Fokus misalnya, membolehkan sekolah itu diberikan keutamaan lebih banyak sumber, dana tambahan, guru berpengalamann dan intervensi khas supaya sekolah itu dapat naik ke tahap lebih baik.
Selain itu, katanya, Sekolah Aspirasi pula akan mendapat bimbingan dan sokongan untuk melonjak lebih tinggi manakala Sekolah Inspirasi memainkan peranan sebagai mentor dan berkongsi amalan terbaik dengan Sekolah Aspirasi dan Sekolah Fokus.
“Maknanya, setiap sekolah akan melalui proses perubahan yang positif, inilah beza model baharu ni. Semua pihak bergerak, semua ada hala tuju dan semuanya diberi peluang untuk berkembang dengan cara yang betul.
“Ini bukan soal bagi title atau ‘cop mohor kecemerlangan’ tapi satu sistem yang lebih sistematik untuk memastikan setiap sekolah dapat peluang yang sepatutnya,” katanya. – MalaysiaGazette