KUANTAN – “Harga terkini santan memang tak masuk akal,” kata seorang peniaga barangan runcit, Shamsuddin Ibrahim yang telah berniaga sejak 30 tahun di Pasar Besar, di sini.

Menurut peniaga yang berusia 56 tahun itu terdapat peningkatan harga santan susulan kenaikan harga kelapa yang kini mencecah RM3.20 sebiji berbanding RM1.80 sebelum ini.

Lebih membimbangkan, katanya, meskipun bekalan kelapa dikatakan mencukupi menjelang bulan Ramadan, harganya dijangka meningkat.

Shamsuddin Ibrahim

“Sepanjang saya berniaga sejak 30 tahun tak pernah harga tinggi begini. Harga santan segar sekarang jadi RM20 sekilogram.

“Kita tak tahu lagi apabila bulan puasa nanti macam mana. Mungkin naik lagi. Pembeli nak bertukar kepada santan kotak pun, harga naik juga. Nak tak nak, terpaksa juga beli. Saya nak turunkan harga pun susah juga,” katanya.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Sim Chon Siang memberitahu, isu kenaikan mendadak harga bekalan santan hanya boleh diselesaikan di peringkat kerajaan pusat.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri Pahang kini giat memperhalusi inisiatif yang bersesuaian bagi mengurangkan impak kenaikan harga tersebut, terutamanya di peringkat pembekal kelapa.

Sim Chon Siang

Ini kerana, katanya pembekal kelapa di negeri ini terpaksa menanggung kerugian lebih 20 peratus berikutan terdapat kerosakan bekalan kelapa yang diimport dari Indonesia.

Ia sekaligus menjejaskan harga kelapa yang dibekalkan ke seluruh daerah di negeri ini dan mengakibatkan lonjakan harga santan segar.

“Kelapa bukan barang kawalan, hanya ketika musim perayaan sahaja. Jika harga naik mendadak, kita terpaksa berbincang dengan pihak kementerian.

“Memang kerajaan negeri rancang nak beri subsidi (kepada pembekal), tapi banyak isu perlu diambil kira. Sama ada ia sah dari segi undang-undang negara atau tidak. Selain itu, jumlah pemberian subsidi juga perlu diperincikan. Kita sedang mengkaji lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke kilang pembekal kelapa terbesar di negeri ini bersama wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Sim Chon Siang (kemeja putih) ketika lawatan ke kilang pembekal kelapa di Damansara, di sini hari ini

Menurutnya, bekalan kelapa bagi seluruh negeri mencukupi sehingga Hari Raya Aidilfitri yang mana bekalan 300 tan kelapa tersedia di kilang tersebut.

Bagaimanapun, Chon Siang memberitahu, harga santan segar dijangka meningkat sehingga RM22 sekilogram menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Saya akan bangkitkan semula isu berhubung pemberian subsidi ini kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada Rabu ini. Pihak MMK akan tentukan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here