KUANTAN – Hampir 100 orang peniaga di Pasar Besar di sini berdepan kesukaran ekoran ketiadaan bekalan air sejak hampir setahun lalu.
Ahmad Darwish Sulaiman, 62, yang menjual ayam segar sejak lebih 40 tahun di sini mendedahkan para peniaga terpaksa menggunakan air daripada saluran paip bomba.
“Pernah buat aduan kepada pihak Majlis Bandara Kuantan (MBK) tapi tiada tindakan sampai sekarang. Jadi, kita terpaksa pakai paip bomba.
“Sebab perlu air untuk mencuci kedai, basuh ayam. Memang susah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ketika tinjauan MalaysiaGazette terdapat pili air disediakan di setiap unit kedai berserta meter air namun ia tidak membekalkan air mencukupi bagi menampung kegunaan para peniaga.
Salah seorang peniaga ikan segar, Zahari Mohd Noor, 62, memberitahu, bekalan air menerusi paip tersebut tidak konsisten dan tidak mencukupi.
Tambahnya, pihak berwajib pula sentiasa memberikan alasan setiap kali diajukan mengenai isu ketiadaan air membuatkan dia berasa teraniaya.
“Rasa teraniayalah. Sebab kita bayar sewa, bayar lesen kepada pengurusan tapi jadi macam ini. Harap sangat dapat selesai masalah air ini,” luahnya.

Berikutan itu, Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Sim Chon Siang turun padang bersama wakil pihak MBK dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) hari ini bagi meninjau sendiri permasalah dihadapi para peniaga terbabit.
Beliau mengakui tidak pernah menerima aduan berhubung isu tersebut dan menggesa pihak bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian sebelum penghujung bulan ini.

“Difahamkan ia berpunca akibat tekanan air yang rendah di sini. Saya telah arahkan pihak PAIP jalankan siasatan dan mengenalpasti punca sebenar masalah ini berlaku. Kita beri tempoh seminggu untuk PAIP menguruskan isu ini.
“Kita minta pihak PAIP ambil tindakan secepat mungkin. Perkara ini sepatutnya tak berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette