KUALA LUMPUR – Peningkatan kadar penggajian akan membantu mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan taraf hidup rakyat di negara ini.
Pada tahun lalu, sektor perkhidmatan awam telah menerima kenaikan gaji yang pertama dalam tempoh lebih 12 tahun.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, gaji penjawat awam telah dinaikkan sebanyak 15 peratus bermula tahun ini, dengan lantai gaji dinaikkan kepada RM2,114.
“Kenaikan ini melibatkan peruntukan besar sebanyak RM10 bilion.
“Walaupun jumlahnya besar, ia perlu dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan penjawat awam,” katanya dalam Bicara Naratif Ekonomi Madani meningkatkan kesejahteraan rakyat, malam ini.
Selain daripada sektor awam, kerajaan juga telah menaikkan gaji minimum bagi pekerja sektor swasta daripada RM1,500 kepada RM1,700 bermula Februari tahun ini.
“Langkah ini diharapkan dapat memberi kesan limpahan atau cascade effect kepada sektor ekonomi lain, di mana jurang gaji antara pekerja bawahan dan mereka di peringkat lebih tinggi dapat dikurangkan.
“Kita berharap kenaikan ini akan membawa kemajuan dalam struktur penggajian negara, seterusnya meningkatkan daya beli rakyat dan merancakkan ekonomi domestik,” tambahnya.
Namun, beliau juga menegaskan bahawa langkah ini perlu dilihat dalam konteks ekonomi global yang semakin mencabar.
Kenaikan kos sara hidup yang tidak dapat dielakkan serta ketidaktentuan ekonomi dunia memberi kesan kepada ekonomi domestik, menjadikan keseimbangan antara kenaikan gaji dan kestabilan fiskal satu cabaran utama bagi kerajaan.
“Kerajaan tidak hanya fokus pada satu aspek ekonomi sahaja. Dengan meningkatkan pendapatan rakyat, kita dapat merancakkan perbelanjaan domestik yang akhirnya memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa strategi kerajaan berada di landasan yang betul berdasarkan data dan angka yang menunjukkan peningkatan positif dalam ekonomi negara berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Dengan usaha berterusan ini, kerajaan optimis bahawa peningkatan penggajian serta langkah-langkah lain yang diambil akan terus memperkukuhkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang, ujarnya. – MalaysiaGazette