PORT DICKSON – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan menerima laporan kehadiran seekor buaya di Pantai Purnama, dekat sini dipercayai reptilia sama yang muncul di Pantai Cermin sebelum ini.
Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, pihaknya menerima laporan itu daripada Majlis Perbandaran Port Dickson sebelum menghantar pasukan bagi melakukan pemantauan.
“Pasukan kita ke lokasi hari ini tetapi buaya itu tidak kelihatan, esok kita akan buat pemantauan lagi.
“Setakat ini kita syaki buaya itu sama dengan buaya di Pantai Cermin, kita akan kenal pasti lokasi sebenar penemuan buaya itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Faizal Izham menasihati orang ramai supaya berhati-hati serta menjaga keselamatan diri dan keluarga, selain tidak melakukan provokasi sekiranya ternampak buaya terbabit serta segera melaporkan kepada Jabatan Perhilitan negeri atau pihak berkuasa lain.
Tular menerusi video di aplikasi media sosial mendakwa terdapat buaya di Pantai Purnama dan Pantai Teluk Kemang, iaitu lokasi pantai paling menjadi tumpuan di daerah ini. – Bernama