Yusof menunjukkan senjata api dan peluru yang dirampas dalam sidang akhbar di IPD Kota Tinggi, hari ini

KOTA TINGGI – Seorang lelaki warga emas diberkas kerana memiliki senjata api buatan sendiri selepas melakukan serbuan di sebuah rumah berdekatan Ladang Pasir Panjang di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, serbuan dilakukan anggota Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman pada pukul pukul 12 tengah hari.

“Suspek utama merupakan lelaki tempatan berusia 65 tahun diberkas bersama-sama seorang lagi lelaki. Hasil siasatan awal mendapati suspek pertama tersebut mahir dalam membaiki senjata api.

“Suspek pertama ini mengakui senjata api yang dibuat adalah bagi tujuan memburu haiwan secara haram dan mengakui tidak memiliki lesen senjata yang sah.

“Tangkapan kedua adalah lelaki tempatan berusia 39 tahun yang dipercayai pelanggan yang datang membaiki komponen senjata api,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di sini hari ini.

Katanya, dalam serbuan berkenaan turut ditemui selaras senapang patah laras tunggal dan 170 butir peluru buckshot.

Menurut Yusof, selain senapang patah dan peluru, polis turut merampas dua bongkah kayu udi senapang, satu rumah picu, dua barrel dan handguard, 26 komponen senapang patah, kereta Proton Wira milik suspek pertama, 11 peralatan mesin dan dua telefon bimbit.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah. Bagaimanapun, suspek kedua didapati mempunyai rekod lampau kes dadah.

“Kedua-dua suspek kini dalam tahanan reman sehingga esok dan kita akan memohon lanjutan tempoh reman esok bagi siasatan lanjut yang dijalankn mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sejak bila kegiatan itu dilakukan suspek dan mengesan sekiranya senjata api yang dibuat suspek ada dijual kepada mana-mana pihak.

Pada masa sama, Yusof menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam pemilikan dan pengedaran senjata api secara haram.

“Kita ingin memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terbabit dalam kes jenayah,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here