IPOH – Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak akan memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, pihaknya menzahirkan komitmen untuk memastikan kemenangan calon tersebut dengan menggerakkan sepenuhnya jentera parti.
Katanya, persiapan awal telah dimulakan AMANAH Perak bagi menyusun strategi untuk memperkukuh sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan sekaligus mengukuhkan kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.
“Sokongan yang tidak berbelah bahagi ini antara lain bagi memberi isyarat jelas kepada rakyat bahawa kestabilan politik yang dicapai menerusi Kerajaan Perpaduan perlu dipelihara.
“Dan ia diperkukuh demi memastikan perancangan dan dasar yang sedang dilaksanakan sama ada di peringkat negeri mahupun pusat adalah keutamaan kepada negara pada ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Asmuni, Mesyuarat Pengurusan AMANAH Perak pada Ahad turut memutuskan agar sayap parti Angkatan Wanita AMANAH (AWAN), Pemuda AMANAH dan Wanita Muda AMANAH (WARDA) untuk membuat perbincangan rasmi bersama BN.
Kata beliau, ia sebagai usaha untuk menyusun strategi bagi menyasarkan pengundi muda dan wanita sebagai kumpulan sasar dalam PRK itu nanti.
“AMANAH Perak yakin Kerajaan Perpaduan di Perak ini boleh menjadi model terbaik dalam mempamerkan keutuhan kerjasama BN-PH dan manfaat yang diperolehi rakyat menerusi dasar dan polisi yang dilaksanakan,” jelas beliau.
Kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning dalam Parlimen Tapah susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, pada Sabtu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Ishsam yang pertama kali bertanding memenangi kerusi itu mengalahkan empat calon lain dengan majoriti 2,213 undi.- MalaysiaGazette
Artikel Berkaitan:
Notis Kekosongan DUN Ayer Kuning diserah kepada SPR Selasa
Jenazah ADUN Ayer Kuning Selamat Dikebumi #MGFlash
ADUN Ayer Kuning disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung