KUALA LUMPUR – DAPSY Kebangsaan menyeru semua parti komponen Kerajaan Perpaduan memenangkan calon gabungan politik itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ia demi mempertahankan perpaduan dan kepelbagaian budaya serta menjamin kestabilan politik dan kemakmuran negeri, kata Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Ho Chi Yang.
Menurutnya, DAPSY Kebangsaan juga akan menggerakkan sepenuhnya jentera untuk membantu dalam menjamin kemenangan calon Kerajaan Perpaduan seterusnya mengekalkan kerusi tersebut.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata berkata, PRK Ayer Kuning merupakan medan pertempuran penting untuk mempertahankan kestabilan politik, meneruskan agenda pembangunan yang dibawa kerajaan kini selain medan terbaik untuk menolak politik ekstrem yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN).
“Selama ini, PN tidak membawa apa-apa nilai progresif atau cadangan konstruktif kepada rakyat sebaliknya terus bergantung kepada politik kebencian dan memainkan sentimen perkauman dan keagamaan sempit untuk memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum.
“Oleh itu, kemenangan calon Kerajaan Perpaduan di Ayer Kuning adalah penting untuk menghalang agenda ekstrem PN daripada menular di Perak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Chi Yang, meskipun Malaysia dibina atas semangat perpaduan antara kaum yang telah terjalin sejak sekian lama namun PN khususnya Pas berulang kali membuktikan parti itu tidak menghormati kepelbagaian budaya.
Malah Pas juga tidak berhenti menggunakan naratif yang bahaya termasuk fitnah bertubi-tubi untuk merosakkan perpaduan negara.
Media sebelum ini melaporkan, Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid akan memaklumkan kekosongan luar jangka kerusi DUN Ayer Kuning berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selasa ini.
Makluman rasmi itu bagi tindakan lanjut SPR termasuk mengadakan PRK.
Ishsam, 59, meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang, Sabtu lalu, akibat serangan jantung selepas dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri ketika bersalaman dengan pemain di tepi padang sempena Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, George Town.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Ishsam yang pertama kali bertanding sebagai calon UMNO memenangi kerusi DUN N48 Ayer Kuning.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Tapah dan Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,213 undi menewaskan empat calon lain. – MalaysiaGazette