KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini untuk bacaan kali pertama.
Pembentangan dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan RUU dan dijangka dibahaskan peringkat dasar serta bacaan kedua pada sesi Dewan Rakyat kali ini.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 merupakan langkah penting dalam mereformasi institusi demokrasi negara.
Beliau berkata, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 pula akan dibawa bagi membolehkan Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat menganggotai Majlis Parlimen.
“RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 adalah langkah pertama dalam usaha ke arah mereformasi institusi dan penambahbaikan kepada institusi demokrasi utama negara, iaitu parlimen,” kata Fahmi.
Sebelum ini, pertubuhan masyarakat sivil yang mendesak untuk menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen menggesa kerajaan telus dengan draf akhir RUU tersebut.
Akta Perkhidmatan Parlimen mula digubal pada tahun 1963, hanya beberapa bulan sebelum pembentukan Malaysia.
Ia membenarkan Parlimen bertindak sebagai badan yang benar-benar bebas menjalankan hal ehwalnya sendiri, memilih kakitangannya dan mengawal perbelanjaannya.
Walau bagaimanapun, ia telah dimansuhkan pada tahun 1992 dan diletakkan sebagai agenda reformasi utama di bawah pentadbiran kini. – MalaysiaGazette