BUTTERWORTH – Keupayaan syarikat pertahanan tempatan melaksanakan penyelenggaraan pesawat pejuang F/A-18 Hornet berjaya menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan sebanyak 20 peratus berbanding ia diselenggara di luar negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu bukan sahaja memberi manfaat daripada segi penjimatan kos tetapi juga meningkatkan keupayaan industri aeroangkasa tempatan.
Jelas beliau, penyenggaraan F/A-18 Hornet kini dilaksanakan lebih daripada 70 peratus oleh syarikat pertahanan tempatan dengan sokongan syarikat luar negara sekali gus memberi peluang kepada tenaga kerja tempatan.
“Usaha ini juga menjimatkan perbelanjaan kerajaan sehingga 20 peratus berbanding penyelenggaraan di luar negara. Malah ia juga mempercepatkan tempoh penyelenggaraan yang kini hanya mengambil masa setahun dalam negara, berbanding lebih panjang jika dilakukan di luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Butterworth di sini hari ini.
Selain itu Mohamed Khaled turut menyerahkan replika cek berjumlah RM9.2 juta bagi penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) 2025, serta menyampaikan sumbangan kebajikan sebanyak RM500 secara sekali bayar kepada 20 orang pesakit kronik yang terdiri daripada anggota dan ahli keluarga.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam usaha meningkatkan kesejahteraan anggota tentera, kerajaan turut memperuntukkan dana besar untuk penyelenggaraan rumah-rumah anggota tentera.
“Projek bernilai RM420 juta bagi tahun ini melibatkan lebih 90 kem tentera di seluruh negara. Ia turut merangkumi projek baru untuk membina 164 unit rumah bagi anggota di Butterworth manakala RM9.2 juta diperuntukkan untuk menyelenggara rumah sedia ada bagi tahun ini sahaja.
“Inisiatif ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kebajikan anggota tentera yang turut memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette