KOTA BHARU – Seorang remaja maut, manakala dua lagi rakannya terselamat dalam kemalangan apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas di tepi jalan dekat Kampung Jalan Pulai Chondong di Machang, awal pagi tadi.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I Mohd Nazri Taib berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.34 pagi dan enam anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ketereh telah bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di lokasi kejadian dengan jarak 16 kilometer, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Honda Jazz, terbabas di tepi jalan yang dinaiki tiga lelaki dan kesemua mereka berusia 18 tahun.
“Bagaimanapun, dua mangsa telah keluar sendiri dengan selamat, manakala seorang lagi mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang dan diserahkan kepada pihak polis untuk proses selanjutnya.- BERNAMA