Antara longgokan sisa sampah elektronik (e-waste) bagi pemprosesan dan pelupusan bahan bahan mentah yang terdapat di kilang yang telah diserbu pada operasi Op X di sekitar Buloh Kasap, Segamat, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 24 FEBRUARI 2025.

SEGAMAT – Seramai 16 individu termasuk pemilik syarikat dan pegawai dagang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menyogok penguatkuasa untuk memproses dan melupus sisa elektronik yang tidak dibenarkan.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kesemua 16 suspek berusia 30 hingga 40-an itu ditahan menerusi Op X di sekitar Selangor dan Johor antara jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari tadi.

Menurutnya, ia susulan operasi bersepadu itu yang turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertindak menyerbu 12 kilang sisa elektronik di Telok Panglima Garang, Selangor dan Buloh Kasap, Segamat, Johor.

“Ada antara suspek disyaki pemilik syarikat terbabit menggunakan pegawai dagang yang melanggar syarat permohonan sebagai pegawai serta membayar wang rasuah kepada penguat kuasa untuk melindungi perniagaan mereka.

“Serbuan adalah hasil maklumat risikan kira-kira tiga bulan dan kesemua suspek telah dibawa ke SPRM Melaka petang tadi sebelum ditahan selepas dirakam keterangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah nilai sogokan yang ditawarkan kepada penguat kuasa.

Menurut Ahmad Khusairi, kesemua premis yang diserbu hari ini disyaki memproses dan melupus bahan-bahan mentah yang tidak dibenarkan seperti gentian kaca, plastik, besi dan logam.

“Penangkapan ini mencerminkan komitmen teguh SPRM, JIM dan JAS dalam memastikan usaha memerangi rasuah, khususnya yang melibatkan sektor penguatkuasaan demi memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast