Gambar Hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga emas berputih mata selepas rugi RM440,000 akibat terpedaya pelaburan dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa merupakan warga tempatan berusia 78 tahun yang memaklumkan kejadian bermula pada awal Oktober tahun lalu.

Katanya, mangsa yang merupakan suri rumah menerima mesej daripada satu nombor kemudian dimasukkan dalam kumpulan pelaburan.

“Mangsa telah mendaftar sebagai ahli dalam kumpulan tersebut dan diperkenalkan kepada empat individu lain yang mengaku sebagai wakil khidmat pelanggan.

“Mangsa seterusnya diberi tunjuk ajar mengenai kaedah pelaburan untuk membeli saham terbitan awam kemudian menerima invois dan diminta membuat pelaburan bagi mendapatkan unit saham yang diinginkan.

“Antara 11 hingga 25 Oktober tahun lalu, mangsa telah melakukan tiga transaksi daripada akaun miliknya dengan jumlah keseluruhan RM440,000 ke dalam akaun syarikat pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Raub, setelah pembayaran dibuat mangsa menyedari invois yang diterima adalah palsu dan tidak lagi dapat mengakses kumpulan tersebut untuk meneruskan pelaburan.

Mangsa membuat laporan polis setelah menyedari dirinya diperdaya.

“Sumber kewangan mangsa adalah wang simpanan sendiri, pemberian suami dan anak-anak serta adik-beradiknya yang tinggal di luar negara.

“Hasil siasatan awal mendapati akaun bank yang digunakan mempunyai satu rekod penipuan terdahulu,” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, tambah beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here