KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mendedahkan sebanyak 18 kes dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) membabitkan orang kenamaan (VIP) direkodkan antara 2018 hingga 2024.
Bilangan tertinggi DNAA dalam kalangan VIP pada 2023 (lima kes) dan 2020 (lima kes) manakala tiga kes pada 2019, dua kes tahun lalu dan 2018 dan satu kes pada 2021.
Namun, kata Azalina, keputusan melepas tanpa membebaskan itu telah dimuktamadkan selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
“Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.
“Dalam menjalankan kuasa berkenaan, Peguam Negara akan menggunakan budi bicaranya berasaskan keterangan yang diperoleh daripada pihak penguat kuasa, perkembangan dan keterangan baharu yang wujud semasa perbicaraan kes berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang ingin mengetahui jumlah kes VIP atau VVIP yang diberi keputusan DNAA sejak lima tahun kebelakangan ini dan langkah mempertingkatkan ketelusan proses perundangan.
Jelas Azalina lagi, berdasarkan Pekeliling Ketua Pendaftar Bilangan 1 Tahun 2012-Kes Berprofil tinggi, ada beberapa kategori orang kenamaan yang disenaraikan antaranya sultan, raja, tuan yang terutama dan kerabat terdekat.
“Bagi peringkat kedua pula melibatkan menteri Kabinet, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Dewan Diraja atau Majlis Pangkuan Negeri (atau apa-apa nama majlis sedemikian digelar) dan pemimpin politik lain yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan atau parti politik.
“Ketiga, hakim Mahkamah Persekutuan, hakim Mahkamah Rayuan, hakim Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya manakala yang keempat, pegawai dan pegawai kanan kerajaan iaitu dalam kumpulan perkhidmatan pengurusan dan profesional serta ketua jabatan Persekutuan atau negeri dan agensi kerajaan,” ujarnya. -MalaysiaGazette