KLUANG – Pemandu kereta, Mohd Faiz Zailan Kamaruddin didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu mengedar dadah, menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan memandu secara berbahaya pada pertengahan bulan ini.
Bagi pertuduhan mengedar dadah, tertuduh berusia 41 tahun yang dikenali sebagai Along Kubur hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Tertuduh dituduh mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah jenis heroin seberat 19.30 gram di Lampu Isyarat Pasaraya Kluang Mall pada pukul 9 pagi, 14 Februari lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga iaitu menghalang penjawat awam serta memandu secara berbahaya, bapa kepada dua anak itu mengaku salah.
Berdasarkan pertuduhan kedua, dia didakwa menghalang seorang penjawat awam iaitu anggota polis, Koperal Noor Saufi Mustar daripada menjalankan tugasnya.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di kawasan lampu isyarat Jalan Haji Manan di bandar Kluang pada waktu dan tarikh yang sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 dan penjara enam bulan terhadap pertuduhan tersebut jika gagal membayar denda.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memandu kereta atas jalan raya secara berbahaya kepada orang awam dari arah Kampung Melayu dan sekitar bandar Kluang pada waktu dan tarikh yang sama.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun daripada tarikh sabitan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nurfara Fazilun Izlyin Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh memohon diringankan hukuman kerana mempunyai dua anak yang masih bersekolah dan baru mendirikan rumah tangga tahun pada tahun lalu selain patah kaki kanan.
Siti Nurfara Fazilun bagaimana pun tidak menawarkan jaminan terhadap kes mengikut Seksyen 39B (1) kerana tidak boleh dijamin selain memohon hukuman setimpal ke atas dua lagi pertuduhan terhadap tertuduh atas kepentingan awam.
Mahkamah kemudian menetapkan 29 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan laporan kimia bagi pertuduhan pertama. – MalaysiaGazette