KUALA LUMPUR – Selepas 31 tahun, Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) konsisten meneruskan aktiviti pembungkusan barangan sempena Hari Raya Aidilfitri bersama-sama ahlinya.
Menurut Pengerusi Jemaah Tertinggi badan berkenaan, Datin Risia Sheikh Ali Omar Bajarai, tahun ini, sebanyak 15,000 beg yang dibungkus secara berperingkat sejak September tahun lalu untuk diagihkan kepada para perwira negara yang bertugas pada Syawal ini.
Katanya, ia sebagai simbolik penghargaan terhadap pengorbanan dan khidmat bakti perwira dan perajurit ATM yang bertugas menjaga kedaulatan negara tanpa mengira masa.
“Yang lain sudah disiapkan sejak tahun lalu hari ini kita siapkan 200 dan dibungkus oleh ahli-ahli BAKAT. Saya juga harap ini akan menjadi simbolik kepada penghargaan perwira (yang berada) di perbatasan dan motivasi kepada para isteri yang suaminya berjuang demi negara,” katanya ketika ditemui di Rumah BAKAT, Kem Kementah hari ini.

Turut hadir, Timbalan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (TAKSPA), Brigedier Jeneral Hamdan Ahmad TUDM.
Sebagai rekod, aktiviti pembungkusan beg barangan Hari Raya Aidilfitri diadakan setiap tahun.
Ia dilaksanakan dengan kerjasama antara ahli BAKAT ATM iaitu dalam kalangan isteri anggota.

Pelbagai sumbangan dalam bentuk kewangan dan barangan seperti produk makanan kering serta keperluan lain telah diterima oleh ATM melalui syarikat atau badan korporat yang turut menyumbang untuk menjayakan program pembungkusan berkenaan.
Dalam pada itu, Risia memaklumkan majlis pengagihan beg kepada setiap Panglima Angkatan Tentera akan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 20 Mac nanti.- MalaysiaGazette