MELAKA – Seorang bekas pegawai bank didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas 26 pertuduhan meminta suapan berjumlah lebih RM150,000 daripada sebuah firma guaman sebagai habuan membantu mendapatkan rujukan kes berkaitan urusan pinjaman perumahan sejak lapan tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Rais Mohamed Ramli, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah meminta satu suapan untuk diri sendiri wang berjumlah RM153,621.47 daripada sebuah firma guaman sebagai dorongan membantu mendapatkan rujukan-rujukan kes berkaitan urusan pinjaman perumahan sebuah bank.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Plaza Mahkota dalam daerah Melaka Tengah antara 1 Januari 2018 dan 12 Disember 2023.
Kesalahan itu memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fatin Nur Athirah Zainudin mencadangkan jaminan berjumlah RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada Mahkamah Shah Alam dan melapor diri di pejabat SPRM Selangor setiap bulan bulan sekali sehingga kes selesai.
Peguam, Andrew Lourdes bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya sudah tidak lagi bekerja sejak hampir setahun lalu dan menggunakan wang simpanan untuk menyara isteri serta tiga anak.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM37,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.
Kes akan disebut semula 19 April ini. – MalaysiaGazette