KUALA LUMPUR – Era pemimpin lama seperti Datuk Seri Nazri Aziz sudah berlalu dan sudah tiba masanya beliau bersara sepenuhnya daripada arena politik negara.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullai berkata, sebagai parti keramat orang Melayu , UMNO perlu terus bergerak ke hadapan dengan barisan kepimpinan yang segar, berjiwa juang serta memahami denyut nadi rakyat.
“Kepimpinan UMNO hari ini memerlukan tokoh muda yang bukan sahaja mempunyai jati diri yang kuat tetapi juga berani mempertahankan hak orang Melayu serta kesucian agama Islam tanpa tunduk kepada tekanan luar.
“Pemimpin seperti Datuk Dr. Akmal Saleh adalah contoh terbaik kerana Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu tidak gentar menyuarakan kepentingan rakyat serta berani mengambil tindakan demi masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan.
Syed Rosli berkata demikian mengulas kenyataan Nazri yang menganggap kenyataan lantang Dr Akmal mengenai pelbagai isu di negara ini hanya mewakili sebahagian kecil suara UMNO bukan keseluruhan parti baru-baru ini.
Menurut Syed Rosli, UMNO perlu melakukan perubahan drastik dengan memberi ruang kepada pemimpin muda yang lebih segar dan berkredibiliti untuk memimpin perjuangan parti.
Kegagalan untuk berbuat demikian hanya akan menyebabkan UMNO terus tenggelam dan kehilangan sokongan akar umbi, tegasnya.
“Maka, demi kelangsungan perjuangan UMNO sebagai wadah utama orang Melayu, sudah tiba masanya kita meninggalkan pemimpin yang tidak lagi relevan dan memberikan kepercayaan kepada generasi baharu yang benar-benar komited memperjuangkan agama, bangsa, dan tanah air,” katanya. – MalaysiaGazette