Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,993 kandungan media sosial bersifat lucah telah diturunkan oleh penyedia platform berdasarkan permohonan yang dibuat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari tahun 2022 sehingga 15 Februari lalu menurut Akta 588.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebanyak 3,670 laman sesawang telah dikenakan tindakan sekatan bagi tempoh yang sama.

“Sebanyak 1,993 kandungan media sosial bersifat lucah telah diturunkan oleh penyedia platform berdasarkan permohonan yang dibuat oleh pihak MCMC menurut Akta 588,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Halimah Ali (PN-Kapar) yang meminta menyatakan apakah polisi, langkah kementerian menangani iklan lucah di media sosial yang boleh menjadi faktor rangsangan  individu melakukan gangguan seksual dan berpotensi mengakibatkan masalah rumah tangga.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi  dan SKMM komited untuk memastikan keselamatan dan etika penggunaan media dalam talian tidak melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan undang- undang lain yang berkaitan.

“Di bawah seksyen 233 Akta 588 Pindaan 2025 (Akta A1743) yang berkuat kuasa mulai 11 Februari 2025, penyebaran kandungan bersifat lucah bagi tujuan komersial jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM10,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

“Tindakan penguatkuasaan akan diambil kepada mana-mana pihak yang dikenal pasti telah melakukan kesalahan tersebut bagi membendung penyebaran iklan bahan lucah di media sosial,” jelasnya.

Katanya, bagi memastikan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna, SKMM telah mewajibkan setiap perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588 bermula 1 Januari 2025.

“Langkah ini bertujuan untuk memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang berdaftar mematuhi obligasi-obligasi di bawah Akta 588 serta mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) yang telah diterbitkan oleh SKMM dan seterusnya meningkatkan akauntabiliti terhadap kandungan dan interaksi dalam talian yang disediakan kepada pengguna,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, satu pasukan khusus juga telah ditubuhkan SKMM dalam memantau kesalahan di media sosial termasuk iklan bahan lucah.

Beliau turut mengingatkan orang ramai termasuk pemimpin politik supaya menyemak fakta sebelum menyebar sesuatu perkara bagi mengelak fitnah.

Fahmi memberikan contoh di mana terbaharu SKMM menahan seorang individu selepas gagal hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan atas kesalahan memuat naik kandungan bersifat palsu melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja di Facebook. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here