Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tidak ada mana-mana ahli politik yang dilihat begitu istimewa atau sangat penting sehingga dianggap satu-satunya pemimpin yang layak menjadi Perdana Menteri.

Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ketika ini juga boleh tumbang sekiranya beliau terus `ketimbang’ (tidak cemerlang).

Malah, katanya, Anwar juga boleh tumbang sebagai Perdana Menteri sekiranya UMNO tidak mahu beliau terus memegang jawatan itu.

“Chief (Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz) bertanya siapa boleh jadi PM, selain PMX (Anwar)…pada saya, no one is indispensable.

Yes PMX (Anwar) layak jadi PM-11 dengan syarat dia perform.Jika terus ‘ketimbang’ dia boleh tumbang.

“Malah jika UMNO tak mahu PMX, saya yakin dia tak akan jadi PM 11,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook  malam tadi.

Annuar mengulas kenyataan Mohamed Nazri yang juga bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang seolah-olah menyifatkan tidak ada pemimpin lain yang berpotensi menjadi Perdana Menteri selain Anwar selepas pilihan raya umum akan datang.

Malah Mohamed Nazri menerusi wawancara dengan sebuah portal berita turut dilaporkan berkata, UMNO juga tidak mempunyai calon yang berpotensi untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, Annuar menyangkal kenyataan Mohamed Nazri dan melahirkan keyakinan masih ramai pemimpin di dalam UMNO yang layak dinamakan sebagai Perdana Menteri.

Malah, ujar beliau, ramai pemimpin di dalam Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan sahaja turut layak tetapi mungkin mampu menjadi lebih baik berbanding Perdana Menteri sebelum ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan UMNO kini merupakan parti kecil dan tidak lagi mempunyai suara, Annuar berkata, situasi tersebut adalah kehendak pemimpin parti itu sendiri yang mahu menjadikan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP sebagai ‘singa’.

“DAP kata pemimpin kanan UMNO hanya lalat. Ramai yang reda begitu. Mereka kuat membela ‘singa-singa’..,” katanya.

Sedangkan, ujar beliau, UMNO boleh menjadi sebuah parti besar sekiranya memilih untuk berada bersama-sama parti politik yang sehaluan dan setaraf parti itu (birds of the same feathers).

“Sewaktu PM 9 (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dilantik dari UMNO, UMNO juga tidak besar tapi ia bukan lalat tapi singa dan memimpin. Malah saya yakin, UMNO lalat boleh kembali menjadi singa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here