Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus mengkaji kenaikan gaji minimum secara berkala melalui Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) bagi memastikan ia selaras dengan perkembangan ekonomi dan keperluan semasa pekerja.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menjelaskan, gaji minimum RM1,700 sebulan yang ditetapkan melalui Perintah Gaji Minimum 2024 adalah kadar asas bagi membantu pekerja memenuhi keperluan asas mereka.

“Walaupun gaji minimum tidak boleh dibandingkan secara langsung dengan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), ia tetap menjadi salah satu indikator utama dalam penetapan kadar gaji minimum. PGK terkini bagi tahun 2022 adalah RM2,589 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang mohon menyatakan langkah masa depan kerajaan untuk memastikan gaji minimum pekerja dalam tempoh lima tahun akan datang dapat dinaikkan dari RM1,7000 sebulan sekarang kepada tahap kadar kemiskinan negara iaitu RM2,208 sebulan.

Kata Steven, berdasarkan pelaksanaan enam Perintah Gaji Minimum sebelum ini, kadar gaji minimum meningkat secara purata antara lima peratus hingga enam peratus setahun bergantung kepada prestasi ekonomi negara.

Bagi memastikan gaji minimum terus meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang, kerajaan melalui kementerian akan melaksanakan kajian semula sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun selaras dengan peruntukan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

“Proses kajian ini mengambil kira pelbagai faktor termasuk PGK, kadar penengah gaji, produktiviti buruh, kadar pengangguran, dan Indeks Harga Pengguna (IHP). Selain itu, sesi libat urus bersama wakil pekerja, majikan serta pihak berkepentingan turut dijalankan untuk menilai impak pelaksanaan gaji minimum sebelum ini.

“Kita komited sebarang keputusan mengenai kenaikan gaji minimum akan dibuat secara teliti bagi memastikan keseimbangan antara kebajikan pekerja dan daya saing majikan dalam ekonomi negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here