Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 25 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited melaksanakan kajian semula undang-undang komersial dan jenayah bagi memastikan peruntukan sedia ada relevan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bagi undang-undang komersial iia membabitkan Akta Kontrak 1950 manakala undang-undang jenayah melibatkan Kanun Keseksaan, Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Keterangan 1950.

Tambah beliau, pindaan terakhir Akta Kontrak dilakukan pada 1976 dan sebahagian besar kandungannya masih menggunakan istilah lama berdasarkan prinsip undang-undang lapuk dan tidak bersesuaian ketika ini.

“Akta ini tidak lagi mampu menangani isu kompleks berkaitan transaksi dalam talian seperti sektor e-dagang dan perjanjian digital.

“Hari ini, banyak dokumen bank berbentuk digital, termasuk tandatangan elektronik. Jika pindaan tidak dilakukan, ia akan menjadi cabaran dalam aspek pembuktian,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 511 seksyen dalam Kanun Keseksaan, 167 seksyen dalam Akta Keterangan dan 444 seksyen dalam Kanun Tatacara Jenayah akan dikaji semula dalam masa terdekat.

“Beberapa seksyen mungkin masih relevan, tetapi dengan kemajuan teknologi dan perkembangan dunia digital, jenayah kini semakin canggih dan memerlukan proses pembuktian yang lebih tepat serta efisien.

“Undang-undang yang digubal perlu menggunakan bahasa yang lebih mudah difahami rakyat. Ini juga memastikan keadilan buat semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here