KUANTAN – Kerana cinta, tukang kayu turutkan segalanya demi kekasihnya.
Seorang warga emas berputih masa apabila terpedaya dengan sindiket love scam sehingga mengalami kerugian sebanyak RM420,700.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa telah bekenalan dengan ’kekasihnya’ itu sejak setahun lalu menerusi platform sosial media Messengger Facebook.
”Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang telah menerima laporan polis dari Temerloh berkenaan mangsa yang mengalami kerugian setelah terpedaya dengan penipuan atas talian.
”Pada awal bulan Februari 2024, mangsa seorang lelaki Cina berumur 62 tahun telah berkenalan dengan seorang wanita Cina di Facebook.
”Selepas beberapa bulan, suspek telah meminta tolong daripada mangsa untuk membayar tiket kapal terbang bagi tujuan pulang ke Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan.
Kerana kasihan, mangsa memindahkan wang seperti mana yang dikehendaki wanita berkenaan.
Sejak dari itu, suspek kerap meminta pertolongan dari mangsa atas pelbagai alasan sehingga menyebabkan mangsa telah membuat sebanyak 132 kali transaksi ke dalam dua akaun yang berbeza berjumlah RM420,750.
Yahaya berkata, wang berkenaan adalah hasil simpanan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) mangsa serta hasil wang yang dipinjam dari rakan-rakannya.
Susulan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan panggilan dari individu yang tidak dikenali.
Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette