Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memperuntukkan RM12.53 juta bagi kerja-kerja penyenggaraan jalan Persekutuan yang rosak akibat banjir di Parlimen Dungun, Terengganu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam jawapan di Dewan Rakyat hari ini memaklumkan kerja-kerja penyenggaraan itu melibatkan enam projek berkala pavemen dan lapan projek berkala bukan pavemen yang dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2025.

Menurut KKR, pihaknya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi penyenggaraan telah mengenal pasti jalan-jalan yang terjejas serta menyediakan Anggaran Penyenggaraan Jalan (APJ) bagi tahun ini.

Bagaimanapun, kelulusan kerja tertakluk kepada keutamaan berdasarkan tahap kritikal kerosakan.

“Sebagai langkah pemulihan, kerja-kerja yang dilaksanakan termasuk memperbaharui permukaan jalan rosak menggunakan kaedah partial reconstruction dan mill & pave, membaik pulih embankment runtuh, menyenggara pembetung rosak, mengecat semula garisan jalan yang pudar serta membaiki papan tanda jalan,” katanya.

Dalam tempoh 2023 hingga 2024, KKR telah menyalurkan RM29.14 juta bagi penyenggaraan infrastruktur jalan di Dungun yang melibatkan jalan sepanjang 302.85 km merangkumi 16 laluan utama.

Katanya lagi, pihaknya sentiasa komited dalam memastikan jalan Persekutuan berada dalam keadaan selamat dan selesa untuk pengguna melalui kerja-kerja penyenggaraan berkala sepanjang tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here