JOHOR BAHRU – Kebimbangan orang Melayu terhadap pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (URA) mempunyai asasnya sendiri.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kebimbangan mereka berasas selepas melihat apa yang berlaku dengan nasib penduduk Kampung Sungai Baru iaitu bersebelahan Kampung Baru, Kuala Lumpur.
“Satu contoh di hadapan mata orang Melayu ialah nasib penduduk-penduduk Melayu yang merupakan pemilik rumah dan tanah di Kampung Sungai Baru yang bersebelahan Kampung Baru, Kuala Lumpur.
“Kawasan tersebut juga terletak bersebelahan segi tiga emas Kuala Lumpur yang menempatkan KLCC dan Menara Berkembar Petronas.
“Persoalan yang saya ingin kemukakan, adakah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan harta rakyat tidak boleh diambil secara paksa kecuali dengan pampasan yang mencukupi telah dilaksanakan di Kampung Sungai Baru itu?
“Inilah yang dibimbangi oleh orang Melayu. Mereka takut kejadian di Kampung Sungai Baru itu berlaku di tempat-tempat lain di bandar apabila akta Pembangunan Semula Bandar akan berkuat kuasa nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, banyak yang berlaku sebelum ini melibatkan pengambilan tanah oleh kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah Tahun 1960 mengakibatkan kedudukan rakyat begitu lemah daripada segi hak pemilikan.
“Justeru itu dengan adanya satu lagi akta yang berkaitan pengambilan hartanah atas nama pembangunan semula bandar telah menimbulkan keresahan dan kebimbangan rakyat,” katanya.
Pada Selasa lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memaklumkan, RUU PSB dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen Julai ini.
Katanya, ketika ini ia dalam proses semakan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan depan.
Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin yang memberikan maklum balas rancangan tersebut, menyifatkan akta URA sebagai menindas dan menekan orang Melayu.
Jelas Abdullah, akta itu membuka ruang yang luas kepada pemaju dan kerajaan untuk mengambil alih tanah dan kediaman rakyat, kononnya atas nama pembangunan.
Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan URA sebagai taktik halus untuk mengusir orang Melayu dan India miskin dari kawasan bandar.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menegaskan bahawa undang-undang sedia ada sudah memadai bagi tujuan pembangunan.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari pula berkata, jika dilaksana akan membolehkan kerajaan serta pemaju mengambil tanah dan rumah rakyat walaupun pemilik asal tidak bersetuju sepenuhnya.
“Persetujuan 75 peratus pemilik unit dalam sesebuah bangunan sudah mencukupi untuk membolehkan pengambilan tanah berlaku.
“Apa terjadi kepada 25 peratus yang tidak bersetuju? Dipaksa mengalah.
“Persoalannya, sejak bila prinsip demokrasi membenarkan suara majoriti menindas hak minoriti? Sejak bila kerajaan boleh memaksa pemilik melepaskan rumah mereka tanpa persetujuan mutlak? Oh, tapi jangan risau – semuanya atas nama ‘kemajuan’,” soal ahli Parlimen Pasir Mas itu. – MalaysiaGazette