KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggesa pihak yang mempunyai maklumat mengenai individu yang cuba menyebar agama bukan Islam dari rumah ke rumah yang videonya tular di laman sosial membuat laporan polis.
Ia supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan, kataKetua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.
Menurutnya, sekiranya terbukti mana-mana pihak telah melakukan perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, mereka perlu dibawa ke muka pengadilan untuk iktibar kepada semua pihak.

Sebarang tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan perlu dihentikan kerana ia boleh membawa keresahan awam khususnya dalam kalangan umat Islam, katanya.
“Pihak JAKIM, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Kementerian Perpaduan Negara akan memainkan peranan dalam memantau dan menguruskan isu-isu keagamaan dengan pendekatan yang adil dan harmoni demi kestabilan dan keamanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyaatan malam tadi.
Beliau mengulas mengenai video dua warga asing yang berkunjung dari rumah ke rumah di taman perumahan rakyat untuk menyebar agama selain bukan Islam sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk.
Susulan kejadian itu juga, Majlis Perundangan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk mengusir warga asing berkenaan dari negara ini.
Sementara itu, Sirajuddin menyeru semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memelihara keharmonian negara.
“Sebagaimana yang kita maklum, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya yang mana orang bukan Islam tidak boleh menyebarkan dan mengembangkan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam,” katanya. – MalaysiaGazette