ALOR GAJAH – Padah mencederakan kekasihnya kerana cemburu dan tidak membayar perbelanjaan rumah, seorang pekerja kilang didenda RM1,4000 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini hari ini.
Majistret Dr Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu terhadap pekerja kilang, Yong Meng Siang, 26 selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas seorang wanita berusia 25 tahun dengan cara mengangkat dan menghempasnya dengan tangan.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Jalan Bukit Tambun 28, Taman Bukit Tambun Perdana, Durian Tunggal dalam daerah Alor Gajah kira-kira pukul 5 pagi 2 November tahun lalu.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh setahun atau dengan denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, pengadu pekerja salun bergaduh dengan teman lelakinya sehingga tertuduh mengangkat dan melempar pengadu ke lantai.
Kejadian telah mengakibatkan pengadu mengalami kecederaan pada tapak tangan kiri, lebam pada lutut kaki kanan dan sakit-sakit pada sulang belakang sebelum membuat laporan polis.
Difahamkan, pergaduhan tercetus disebabkan perasaan cemburu dan tertuduh didakwa tidak membayar perbelanjaan rumah yang didiami bersama pengadu sejak lebih setahun yang lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Tertuduh bagaimanapun merayu hukuman rendah kerana hanya bekerja kilang dan perlu menyara anak berusia lima tahun dan bapa selain tidak lagi tinggal dengan pengadu.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Dr Teoh mengarahkan tertuduh didenda RM1,400 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette