KUANTAN – Seorang bekas penghantar dokumen sambilan sebuah syarikat guaman didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memperdaya seorang individu sehingga menyebabkan kerugian bernilai RM3,000 pada lima tahun lepas.
Hakim Sazlina Safie mengenakan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Muhammad Sharizuan Mohd Shariff, 29, dan mengarahkan hukuman penjara tiga bulan jika dia gagal membayar denda terbabit.
Menurut kertas pertuduhan, Muhammad Sharizuan pada 6 Julai 2020 didakwa telah memperdaya seorang individu dengan fraud untuk mempercayai dia adalah seorang peguam yang dapat menyelesaikan kes menantu individu itu dengan melupuskan bukti milikan dadah dan urine positif bersangkut dua laporan polis di Brinchang, Cameron Highlands.
Tertuduh juga didakwa dengan curangnya mendorong individu itu untuk menyerahkan wang tunai sebanyak RM3,000 kepadanya yang mana dia tidak akan serahkan sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Bagi kesalahan itu, duda anak satu itu didakwa di bawah Sesyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Perak, Mohd Afiq Mohd Adnan manakala tertuduh diwakili Peguam, Mohammed Badrulzzaman Abu Bakar. – MalaysiaGazette